Panitia Ekonomi Asas

SMK Jelai [Felda],Gemas, Negeri Sembilan

Kehendak dalam Keperluan

Seorang rakan yang pendapatan bulanannya sama dengan saya sering mengeluh bahawa pendapatannya hanya cukup-cukup untuk menampung kehidupannya sekeluarga setiap bulan. Beliau mempunyai seorang anak kecil dan isterinya tidak bekerja.Beliau mengeluh kerana sebaik sahaja menerima gaji bulanan, separuh daripada gajinya telah disalurkan untuk pembayaran ansuran kereta, sewa rumah, dan bil-bil utiliti yang lain.Belum lagi hutang PTPTN yang perlu dijelaskan ansurannya setiap bulan.Cuma tinggal separuh sahaja lagi untuk perbelanjaan keluarga, kecemasan dan simpanan (sekiranya ada ).

 

Beliau bukanlah jenis orang yang mudah terpengaruh dengan ‘jualan mega’, ‘ansuran mudah’ , ‘tiada bayaran hingga tahun hadapan’ dan sebagainya. Satu atau dua pembelian atas skim bayaran mudah masih boleh dikira normal dalam masyarakat hari ini. Penggunaan kad kredit beliau juga sentiasa terkawal. Oleh kerana rakan saya ini graduan ekonomi, tidak perlulah saya ‘berceramah’ tentang pengurusan kewangan terhadap beliau. Tentunya beliau sudah sedia maklum. Bagaimanapun pada pengamatan saya, satu kesilapan beliau ialah gagal melihat kehendak dalam keperluan.Dalam hidup kita ini, sesetengah keperluan yang biasa tentunya tidak boleh kita elakkan untuk dipenuhi – rumah, pengangkutan, komunikasi, dan makanan contohnya – yang mana sebahagian besar daripada pendapatan kita dibelanjakan. Cuma adakalanya tanpa kita sedari, kita telah terlebih dalam memenuhi keperluan ini.
 
 
RUMAH
Rumah atau tempat tinggal antara keperluan yang paling asas sekali perlu dipenuhi. Tidak boleh tidak, sama ada membeli rumah atau kebiasaannya menyewa. Rakan saya ini menyewa rumah teres 2 tingkat dengan 3 bilik disebuah taman perumahan baru. Cantik dan selesa rumahnya. Sewa bulanannya ialah RM450 (di tempat saya, secara relatifnya sewa masih murah bagi kawasan Johor Bahru dan kawasan-kawasan sewaktu dengannya – dan kadar sewa ini semakin meningkat).Pada pandangan saya, mengapa perlu menyewa rumah sebanyak RM450 sebulan untuk sebuah keluarga kecil – diri sendiri, isteri dan anak kecil. Jika sewanya RM450 atau lebih, saya lebih sanggup untuk membeli rumah, bukan menyewa. Saya sendiri ( dengan seorang isteri, serta 3 anak ) tinggal dengan menyewa di sebuah rumah taman perumahan lama yang juga mempunyai 3 bilik tidur. Meskipun tandas dan bilik airnya cuma satu, yang penting 3 bilik tidurnya agak luas dan selesa, dapurnya lapang. Dan yang paling penting, sewanya hanya RM280 sebulan!!
 
 
PENGANGKUTAN
Pada masa kini memiliki kenderaan bukan lagi satu kehendak. Tetapi masalahnya, ansuran kenderaan (tanpa pembayaran pendahuluan), boleh ‘menyedut” sekurang-kurangnya 25% daripada pendapatan tetap anda, untuk satu tempoh maksimum 9 tahun. (Lamaaa tuuu…). Lebih menyenakkan fikiran, tidak seperti rumah, harganya selepas 9 tahun, tentunya amat susut. Belum lagi dikira harga patrol yang tak pernah turun, insuran,cukai jalan, dan belanja penyelenggaraan yang semestinya adalah ‘pakej’ yang tidak boleh ditolak bila memiliki kenderaan.Ya, memang benar…kereta bukan lagi kehendak, tetapi sudah jadi keperluan. Masalahnya keperluan kita seringkali disamarkan oleh kehendak. Mengapa perlu membeli VIOS kalau Wira sudah memenuhi keperluan kenderaan kita?
 
 
MAKANAN
Tiada orang boleh katakan hidupnya tak makan pun tidak mengapa – sebab itulah ianya merupakan keperluan asas yang paling asas. Soalnya bagaimana kita memenuhi keperluan asas yang paling asas ini?Bagi yang dapurnya sentiasa berasap, kenaikan harga ikan, ayam, daging dan sayuran tentunya merupakan perkara yang sensitif. Seringkali kita dengar bila berlaku kenaikan harga sesuatu barangan, pengguna diminta menggunakan kuasa mereka sebagai pengguna. Pengguna ada kuasa ke? Jawapannya memang YA. Kalau musim harga ikan naik (macam musim tengkujuh dan banjir sekarang ni), beralihlah kepada ayam dan daging dan belilah ikan jenis paling murah sekali (meskipun takda lah murah pun sebenarnya). Beli di tempat yang menawarkan harga lebih murah, meskipun agak jauh sedikit dari tempat anda. Di pasar tempat saya, harga ikan, daging dan sayuran sememangnya tidak menentu dan sentiasa mahal. Menghairankan, harga ayam sentiasa lebih murah berbanding tempat lain (kenapa ek?). Sebagai alternatif,setiap 2 minggu saya akan ke salah sebuah pasar di Skudai yang mana harga barangan tersebut jauh lebih murah.KFC? MarryBrown? McD? Mintak maaflah…itu bukan budaya saya. Nak pergi sebulan sekali pun payah. Saya lebih selesa ke restoran biasa tepi jalan…itu pun jarang-jarang sekali. KFC, McD, MaryBrown – anak-anak saya tahu mereka akan ke sini hanya jika mereka menerima penghargaan dari saya atas sesuatu pencapaian mereka.
 
 
KOMUNIKASI
Handphone suatu ketika dahulu merupakan satu symbol status dalam masyarakat. Dari zaman ATUR (yang besarnya macam tin biskut 1kg tu) hinggalah kini yang mempunyai saiz sebesar tapak tangan (sampai kadang tu tak jumpa carik pasal lupa letak kat mana), handphone telah bertukar sebagai satu benda yang ‘mesti ada’. Sesetengah kita mungkin berbangga kalau ada telefon bimbit yang terkini yang didalamnya mempunyai berbagai kemudahan tambahan. Kalau dulu telefon bimbit hanya digunakan untuk bercakap dan bersms, tapi kini penggunaannya lebih berbagai, dengan standard masa kini – berkamera, sambungan internet, boleh memainkan lagu, dan sebagainya. Adakalanya, jangan hairan, tuan punya handphone yang canggih-manggih ini pun tidak tahu tentang keistimewaan handphonenya.Lebih parah lagi sekiranya anda tidak menggunakan pun kemudahan-kemudahan yang tersedia dalam telefon bimbit tersebut (kerana memang anda tidak memerlukannya) – anda telah membayar harga teknologi yang anda tidak gunakan. Jika menggunakannya pun (kerana rugilah kalau dah ada tapi tak guna, kan?) Anda perlu ingat kebanyakan kemudahan tambahan tersebut, juga sepertimana untuk bercakap,tidaklah percuma – anda masih perlu membayarnya.Jadi pada saya yang menggunakan telefon bimbit hanya untuk bercakap dan sms, nokia 3310 masih relevan untuk saya (hehehe…dah 5 tahun dan 10 kali terhempas). Tunggulah handphone saya rosak dan harga telefon bimbit yang ada berbagai-bagai kemudahan yang ‘tidak berguna’ pada saya tu menjadi benar-benar murah atau bila wujudnya keperluan untuk menggunakan ‘teknologi terkini’ tersebut,mungkin saya akan menukarnya. Itupun jika yang sedia ada ini rosak, atau teknologi yang saya ada tidak boleh digunakan lagi.
 
 
Begitulah beberapa perkara yang biasa dalam kehidupan kita yang sering kita keliru dalam memenuhi apa yang kita anggap sebagai satu keperluan. Keperluan juga boleh dikaburi oleh kehendak kita. Fikirkanlah, berapa banyak kos hidup kita dapat dikurangkan sekiranya kita hanya memenuhi ‘keperluan sebenar-benarnya keperluan’ dalam hidup kita.
—————————————————————————–
Ditulis pada 17 Julai 2007. Gambar-gambar diatas sekadar gambar hiasan sahaja dan diambil dari sumber internet.

20 July 2009 - Posted by | Buka Minda

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: